Semakin hari, semakin banyak yang dipelajari, semakin kerdil rasanya diri ini. Alhamdulillah, akhirnya hari ni dapat juga saya rasakan nikmat ilmu. Baru-baru ini dalam kelas pemakanan saya ada belajar mengenai penyusuan ibu. Menitis lagi air mata ni dalam kelas tersebut apabila menjumpai fakta-fakta yang membuat saya terasa kagum sangat dengan kekuasaan Allah s.w.t. MasyaAllah… Subhanallah…
Kepentingan penyusuan ibu kepada bayi seperti yang telah disyariatkan oleh Allah s.w.t. sememangnya tidak patut dipandang rendah oleh kita sebagai hamba Allah Yang Maha Berkuasa. Dapat dilihat masa kini, majoriti rakyat Malaysia khususnya para ibu yang tidak menyusukan anak. Fenomena ini amat bertentangan dengan apa yang diamalkan oleh masyarakat Barat. Pelik, masyarakat Barat pula yang mengamalkan ajaran Islam berbanding orang Islam sendiri. Allah s.w.t. telah berfirman :
“Dan ibu-ibu hendaklah menyusui anak-anaknya selama dua tahun penuh, bagi yang ingin menyusui secara sempurna.”
(Surah Al-Baqarah, 2:233)
Di sini Allah telah menetapkan bahawa tempoh penyusuan yang sempurna adalah 24 bulan iaitu selama 2 tahun. Tetapi, pada zaman para sahabat, telah timbul khilaf antara Saidina Umar dan Saidina Ali. Telah datang seorang isteri yang melahirkan anak ketika kandungannya baru berusia enam bulan sedangkan pada waktu itu rata-rata isteri melahirkan anak ketika kandungan berusia 9 bulan. Seterusnya Saidina Ali membaca firman Allah yang berikut :
“Dan kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungkannya dan telah melahirkannya dengan bersusah payah.Sedang tempoh mengandungnya beserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan.”
(Surah Al-Ahqaf, 46:15)
Ayat ini menyebutkan tempoh penyusuan adalah 30 bulan. Ayat ini membawa maksud tempoh sebenar penyusuan adalah 24 bulan maka baki 6 bulan lagi adalah tempoh ibu tersebut mengandung.
Dalam sirah Nabi Musa a.s., Allah s.w.t. telah berfirman :
“Dan kami ilhamkan kepada ibunya Musa, “Susuilah dia (Musa), dan apabila engkau khawatir terhadapnya maka hanyutkanlah dia ke Sungai (Nil). Dan janganlah engkau takut dan jangan (pula) bersedih hati, sesungguhnya Kami akan mengembalikannya kepadamu, dan menjadikannya seorang Rasul.”
(Surah Al-Qashash, 28: 7)
Menurut teori Sains, hormone Oksitosin yang dirembeskan oleh otak si ibu semasa menyusukan bayi akan member ketenangan kepada hati si ibu dan juga si anak. Sebab itulah Allah s.w.t. menyarankan ibu Nabi Musa a.s menyusukan anaknya sebelum menghanyutkan Nabi Musa bagi hilangkan keresahan hati yang di alami oleh si ibu dan juga tangisan Nabi Musa a.s.
Kemudian Nabi Musa a.s ditemui dan diambil oleh dayang istana Fira’un. Kerana rasa kasih dan sayang Asiah, beliau ingin membela Nabi Musa dan mencari ibu susuan untuk Nabi Musa a.s. Nabi Musa ketika itu menolak semua ibu susuan yang mahu menyusukannya. Allah s.w.t. telah berfirman :
“Dan kami cegah dia (Musa)menyusu kepada perempuan-perempuan yang mahu menyusui(nya) …..”
(Surah Al-Qashash, 28: 12)
Nabi Musa a.s. menolak kesemua ibu susuan kerana dia sudah merasai susu ibunya sendiri iaitu makanan pertama yang dijamah oleh Musa a.s. Akhirnya, ibu Nabi Musa datang menyamar sebagai ibu susuan dan bersatulah kembali ikatan antara ibu dan anak ini. Betapa ‘power’nya susu ibu.
Perangkaan statistik menunjukkan bahawa risiko kematian kanak-kanak di negara-negara membangun meningkat dari 10 hingga 15 kali ganda bagi mereka yang tidak menyusu ibu pada peringkat 3 bulan pertama. Kebanyakan daripada mereka yang menyusu botol mengalami cirit-birit dan kadang-kadang hingga boleh membawa maut.
Menurut kajian yang boleh dipercayai, komposisi susu ibu berubah seiring dengan peningkatan umur bayi.Itulah sebabnya mengapa ibu digalakkan memberi bayi susu ibu walaupun sudah mampu menelan pepejal lain. Hal ini kerana kuantiti kandungan lemak dan protein yang terdapat dalam susu ibu adalah sentiasa mengikut keperluan pembesaran bayi.
Sebaik sahaja bayi dilahirkan, susu pertama yang akan dihasilkan adalah berwarna kekuningan. Susu ini dipanggil kolostrum. Khasiatnya adalah tiga kali lebih tinggi berbanding susu ibu biasa.Ia mengandungi antibodi dan lebih sel darah putih.Ia turut berfungsi sebagai peringkat pertama proses imunisasi. Statistik turut menunjukkan kadar kemasukan bayi yang menyusu ibu ke hospital adalah jauh lebih rendah berbanding bayi yang minum susu formula.
Bersambung.....