Seperti lazimnya, apabila menjelangnya PRK semua sahabat-sahabat sibuk dengan memaksimakan setiap gerak kerja yang dilakukan. Tetapi, inilah juga sebenarnya masa yang paling efektif dalam merapatkan kembali silaturrahim. Inilah masanya di mana semua sahabat berkumpul memerah otak dan keringat demi kemenangan Islam di bumi UKM.
Di celah kesibukan ini, saya mengambil kesempatan untuk makan bersama seorang sahabat yang agak lama kami tidak makan bersama.Selesai saja mengisi perut yang lapar itu, sahabat saya menceritakan masalah yang dihadapinya ketika ini. Tiba-tiba keluar satu keluhan dari bibirnya yang berbunyi :
"Tasha, sujud saya sekarang dah tak macam dulu. Kesyahduan sujud yang pernah saya rasa dulu dah tak saya rasai sekarang...."
Kenyataan tersebut betul-betul membuatkan saya tersentak. Kelihatan titisan-titisan air mula keluar daripada mata sahabat saya itu. Dia meneruskan kata-kata,
"Saya inginkan pengisian. Sepanjang ceramah-ceramah yang saya pergi sekarang langsung tidak menyerap ke hati. Asyik-asyik pasal politik. Saya tahu politik itu penting. Saya juga tahu pengetahuan isu semasa itu penting.Tetapi...di mana saya boleh dapat pengisian-pengisian yang dapat menyuburkan kembali iman saya ini? Saya nak pengisian yang macam saya dapat dalam usrah kak ima dulu.. Saya faham tarbiyah kita adalah melalui gerak kerja, tetapi.. Sejak aktif bergerak kerja ni banyak amalan ibadah yang sepatutnya dilakukan tetapi tidak dilakukan... Dengan qiamullail entah ke mana, ibadat sunat lain pun berkurang..Mungkin ini masalah hati saya.."
Setelah selesai sesi luahan perasaan itu, kami kembali menyambung kerja masing-masing. Sejak peristiwa itu, perkataan-perkataan yang keluar daripada sahabat saya itu sentiasa terngiang-ngiang di corong telinga ini. Mungkin ini adalah salah satu teguran daripada Allah melalui perantaraan sahabat saya terhadap diri ini sendiri. Air mata terus menitis dan melaju hinggalah ke saat ini.
Sememangnya tidak semua orang yang mengalami masalah ini tetapi amat mengecewakan sekiranya masalah ini wujud dalam kalangan kita sendiri. Teringat kisah Sultan Muhammad Al-Fateh, tokoh Islam yang berjaya membuka kota Constantinople. Lebih kurang 800 tahun sebelum kelahiran beliau, Rasulullah s.a.w. bersabda :
"....Constantinople akan jatuh ke tangan orang Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja dan tenteranya adalah sebaik-baik tentera.."
(Hadis Riwayat Imam Ahmad)
Sepanjang hayat Sultan Muhammad Al-Fateh, baginda tidak pernah meninggalkan solat fardhu, solat sunat Rawatib dan juga solat Tahajjud. Terbukti di sini bahawa baginda bukan sahaja hebat berfikir dalam merancang strategi membuka kota Constantinople, tetapi juga hebat dalam menjaga hubungannya dengan Allah, Tuhan Yang Maha Esa.
Ini adalah muhasabah untuk diri yang hina ini dan juga sahabat-sahabat yang seangkatan dengan diri ini...
Sesungguhnya diri ini sering melanggar suruhanMu Ya Allah,
Pagi ku ingat tetapi petang kulupakanMu,
Seringkali ku berjanji kepadaMu,
Malangnya kerap kali ku memungkiri janji itu,
Ya Allah...
Kau pimpinlah diri ini yang amat mendambakan cintaMu,
Kulemah tanpa pimpinan dariMu Ya Allah,
Sesungguhnya hanya Kau Yang Maha Pengasih,
Lagi Maha Penyayang,
Kembalikanlah diri ini kepada fitrah yang sebenar.....