Alhamdulillah..segala pujian bagi Allah yang telah menciptakan seluruh alam semesta. Hari ini masih diberi nyawa untuk melakarkan sedikit coretan sebagai peringatan kepada diri sendiri dan juga sahabat-sahabat.

Seusia begini, seringkali kita diajak untuk membicarakan soal jodoh tetapi amat jarang sekali untuk diajak membicarakan soal ajal, kematian. Apabila diajak membicarakan soal jodoh, lazimnya secara spontan bibir akan mengukir senyuman dan mulalah hati terasa berbunga-bunga. Bertentangan pula apabila diajak membicarakan soal maut. Wajah akan mula mengukir kemuraman dan hati mula gelisah. Oleh sebab yang demikian, ramai di antara kita yang cenderung memilih untuk membicarakan soal jodoh berbanding soal mati sehinggakan kadang-kadang terlupa akan kematian yang pasti.

Itulah lumrah hidup seorang manusia. Lebih suka untuk membicarakan persoalan-persoalan yang menggembirakan hati mereka daripada membicarakan persoalan-persoalan yang akan menggusarkan dan menyedihkan mereka. Tetapi manusia seharusnya menerima hakikat bahawa persoalan-persoalan yang menyedihkan dan menggusarkan hati pada fikiran mereka itulah sebenarnya yang lebih akan mendekatkan dan mengingatkan diri kepada Allah s.w.t. Benar kata Rasulullah s.a.w. Terpadam terus nafsuku untuk dunia tatkala mengingati lahad.

Kelazatan dunia seringkali mengalpakan manusia khususnya diriku dari mengingati 'the next stage' yang bakal kutempuhi iaitu hari pembalasan. Apabila direnungkan kembali kisah-kisah salafussoleh dan ulama'-ulama' terdahulu, mereka telah menjadikan mati sebagai penasihat kepada diri mereka daripada terus alpa dengan kelazatan dunia. Rasulullah s.a.w. sendiri pernah mengingatkan para sahabatnya untuk sentiasa mengingati mati.

Sabda Rasulullah s.a.w. :

"Perbanyakkanlah mengingati perkara yang memusnahkan kelazatan dunia (iaitu mati)."

Seringkali kita mendengar pujian diberikan kepada orang-orang yang mendapat anugerah dekan di universiti.Kita sering mengatakan bijaknya dia dapat anugerah dekan setiap semester. Tetapi harus diingatkan di sini bahawa Allah tidak memandang anugerah dekan yang kita peroleh. Tidak layak untuk dikatakan bijak sekiranya kita sering mendapat anugerah dekan tetapi tidak bertaqwa kepada Allah s.w.t. Orang yang sebenar-benar cerdik adalah orang yang paling banyak mengingati mati.

Nabi Muhammad s.a.w. pernah bersabda :

"Secerdik-cerdik manusia adalah orang yang paling banyak ingataanya pada mati serta banyak bersiap untuk menghadapi kematian. Mereka itulah orang yang benar-benar cerdik dan mereka pergi ke alam baqa' dengan membawa kemuliaan dunia dan kemuliaan akhirat. " (Ibnu Majjah dan Abiddunya)

Apabila membicarakan soal jodoh akan terbayang kebahagiaan sebuah keluarga yang terbina tetapi apabila membicarakan soal ajal akan terbayang di minda seksaan-seksaan kubur yang bakal diterima bersendirian di sana nanti. Memang benar kematian adalah suatu yang menakutkan. Sebut sahaja tentang mati, akan terkenang kembali segala dosa, hutang dan amanah yang belum terlangsai. Akan terasa betapa kerdil dan hinanya diri ini.

Apabila ditanya kubur yang macam mana yang kamu inginkan, sudah pasti kita mengatakan suatu kubur yang luas, bukan yang sempit dan bukan yang akan menghancurkan tulang temulang kita.
Apabila dikatakan kubur adalah lorong ke syurga sudah pasti semua manusia tidak berasa takut untuk memasuki alam barzakh tetapi apa yang menakutkan manusia tentang kematian adalah bimbang sekiranya kubur itu akan menjadi lorong ke neraka jahanam.

Allah s.w.t. pernah berfirman :

"Dan sungguh, telah akan Kami isi neraka Jahanam banyak dari kalangan jin dan manusia. Mereka memiliki hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah)dan mereka memiliki mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaaan Allah) dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengarkan (ayat-ayat Allah). Mereka seperti haiwan ternak bahkan lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lengah."
(Surah Al-A'raf, 7:179)

Masa yang masih berbaki ini gunalah sebaik-baiknya. Persiapkanlah diri kita menuju ke destinasi yang pasti iaitu mati. Sungguh sedikit amal yang kita lakukan tetapi terlalu banyak dosa yang telah dilakukan. Dosa kita sesama manusia pun banyak lagi yang tidak kita sedari. Walau segagah manapun kita, walau setinggi mana pun jawatan yang dipegang, ia bukanlah penghalang kepada malaikat Izrail untuk mendatangi dan mecabut nyawa yang dipinjamkan ini.

Firman Allah s.w.t. :

"Di mana pun kamu berada, kematian pasti akan mendapatkan kamu, kendatipun kamu berada di dalam benteng yang kukuh dan tinggi."
(Surah An-Nisa', 4:78)

Ajal itu datang tanpa mengira waktu. Mungkin saat ini tangan ini masih mampu menaip, tetapi adalah tidak mustahil selepas menamatkan penulisan ini nyawa ini akan dikembalikan kepada peminjamnya dan tangan ini menjadi terus kaku. Mungkin juga ini adalah amal terakhir yang diri ini mampu lakukan.

Allah s.w.t. telah menyatakan di dalam Al-Quran :

"Dan setiap umat mempunyai ajal (batas waktu). Apabila ajalnya tiba, mereka tidak dapat meminta penundaan atau percepatan sesaat pun."
(Surah Al-A'raf, 7:34)

Terjumpa satu hadith yang berbunyi, Siti Aisyah r.a. berkata, :

"Wahai Rasulullah! Adakah orang yang bukan syahid itu boleh dibangkitkan bersama para syuhada'? Jawab Baginda : "Boleh, iaitu orang yang mengingati mati sebanyak dua puluh kali pada siang dan malam hari."

Cukupkah diri ini mengingati mati sebanyak 20 kali sehari...? Sama-samalah bermuhasabah diri dengan memperbanyakkan mengingati mati dan sediakan persiapan-persiapan ke arah kematian itu. Tidak salah membicarakan soal jodoh tetapi banyakkanlah membicarakan soal mati kerana kematian kaunselor yang terbaik.

Hari ini...

Diri ini perlu sedar bahawa....

"Semua yang kukerjakan adalah hanya untuk mencari keredhaan Allah s.w.t., mengharapkan apa yang disediakan di sisiNya dan tidak mengharapkan hadiah dan ucapan terima kasih."


Hikam Said Hawa

"Qiyadah tak boleh tutup pintu muhasabah. Ahli wajib awasi pimpinan supaya mereka lurus. Ahli lalai muhasabah pimpinan adalah dosa kerana abai suruhan Allah. Qiyadah perlu suruh ahli muhasabah mereka, dan tidak boleh pisahkan hal peribadi dan tanzim. Masalah peribadi pimpinan adalah masalah jamaah. Qiyadah mesti muhasabah kepada Qa'id dan sesama sendiri"

- As-Syaikh Said Hawa, Jundullah.

Hai jiwaku..

Bertasbihlah dan solatlah!
Saat urusan-urusan berat menyerangmu.
Apabila hati telah merasa letih
Dari beban kehidupan yang melelahkan
Alirkan air mata, wahai jiwa
Lalu tumpahkanlah ia dalam solat
Sungguh Tuhan alam semesta mendengar
Tangisan jiwa memohon kasih-Nya...

Rasulullah s.a.w. sentiasa berdoa...

" Ya Allah aku berlindung dengan Engkau daripada ilmu yang tidak memberi manfaat dan daripada hati yang tidak khusyuk dan daripada amalan yang tidak diangkat (tidak diterima) dan daripada doa yang tidak didengar (tidak dimakbulkan). " (Hadis riwayat Ahmad).

Persoalan Qaradhawi

"Wahai saudaraku, Allah adalah Tuhan sekelian alam seluruhnya, Tuhan orang Islam dan Tuhan orang Kristian. Surah terakhir di dalam Al-Quran ada menyebut : ((Katakanlah! (wahai Muhammad) Aku berlindung dengan Tuhan sekelian manusia, Yang Menguasai sekelian manusia!))..bukan Tuhan orang Islam sahaja atau Tuhan Arab sahaja, atau Menguasai Arab sahaja ….) Kemudian beliau(Al-Qardhawi) bertanya: Oleh itu kenapakah perkara ini menimbulkan kemarahan wahai orang-orang (Islam) Malaysia? - Kata Qaradhawi di masjid Umar bin Al-Khattab, Doha pada 22 Jan 2010

Ubat buat pejuang..

Jamaludin Al Afghani pernah menganggap ujian seperti buang daerah laksana melancung , penjara seperti istirehat dan dibunuh pula merupakan jalan pintas untuk menemui Allah swt sebagai kekasih yang dirindui . Sungguh dahsyat ibarat ini . Siapakah gerangannya yang mampu menganggap penjara sebagai tempat istirehat dan buang daerah sebagai pakej pelancungan jika ia bukan terdiri dari pejuang - pejuang Islam yang tinggi pergantungannya kepada Allah swt .

Ibnu Mas'ud pernah berucap...

"Siapa saja di antara kalian yang hendak mencari teladan, maka teladanilah para sahabat Muhammad s.a.w.;Sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang paling baik hatinya dalam kalangan umat ini,paling dalam ilmunya, paling sedikit kepura-puraannya,paling teguh berpegang pada petunjuk, dan paling baik perilakunya.Mereka itu adalah kaum yang dipilih Allah s.w.t. untuk menemani Nabi s.a.w. dan menegakkan agamaNya."

Sunnah Perjuangan...

Kaisar Romawi ketika berbincang dengan Abu Sufyan pernah berkata, "Telah kutanyakan padamu tentang bagaimana peperangan kalian dengannya.Kamu mengatakan peperangan itu silih berganti;sesekali kalian menang dan lain waktu ia yang menang.Maka demikianlah keadaan semua rasul yang pernah ada;selalu dicoba dan memperoleh akibatnya."

Interaktif mukmin


ShoutMix chat widget