Alhamdulillah..segala pujian bagi Allah yang telah menciptakan seluruh alam semesta. Hari ini masih diberi nyawa untuk melakarkan sedikit coretan sebagai peringatan kepada diri sendiri dan juga sahabat-sahabat.
Seusia begini, seringkali kita diajak untuk membicarakan soal jodoh tetapi amat jarang sekali untuk diajak membicarakan soal ajal, kematian. Apabila diajak membicarakan soal jodoh, lazimnya secara spontan bibir akan mengukir senyuman dan mulalah hati terasa berbunga-bunga. Bertentangan pula apabila diajak membicarakan soal maut. Wajah akan mula mengukir kemuraman dan hati mula gelisah. Oleh sebab yang demikian, ramai di antara kita yang cenderung memilih untuk membicarakan soal jodoh berbanding soal mati sehinggakan kadang-kadang terlupa akan kematian yang pasti.
Itulah lumrah hidup seorang manusia. Lebih suka untuk membicarakan persoalan-persoalan yang menggembirakan hati mereka daripada membicarakan persoalan-persoalan yang akan menggusarkan dan menyedihkan mereka. Tetapi manusia seharusnya menerima hakikat bahawa persoalan-persoalan yang menyedihkan dan menggusarkan hati pada fikiran mereka itulah sebenarnya yang lebih akan mendekatkan dan mengingatkan diri kepada Allah s.w.t. Benar kata Rasulullah s.a.w. Terpadam terus nafsuku untuk dunia tatkala mengingati lahad.
Kelazatan dunia seringkali mengalpakan manusia khususnya diriku dari mengingati 'the next stage' yang bakal kutempuhi iaitu hari pembalasan. Apabila direnungkan kembali kisah-kisah salafussoleh dan ulama'-ulama' terdahulu, mereka telah menjadikan mati sebagai penasihat kepada diri mereka daripada terus alpa dengan kelazatan dunia. Rasulullah s.a.w. sendiri pernah mengingatkan para sahabatnya untuk sentiasa mengingati mati.
Sabda Rasulullah s.a.w. :
Seringkali kita mendengar pujian diberikan kepada orang-orang yang mendapat anugerah dekan di universiti.Kita sering mengatakan bijaknya dia dapat anugerah dekan setiap semester. Tetapi harus diingatkan di sini bahawa Allah tidak memandang anugerah dekan yang kita peroleh. Tidak layak untuk dikatakan bijak sekiranya kita sering mendapat anugerah dekan tetapi tidak bertaqwa kepada Allah s.w.t. Orang yang sebenar-benar cerdik adalah orang yang paling banyak mengingati mati.
Nabi Muhammad s.a.w. pernah bersabda :
Apabila membicarakan soal jodoh akan terbayang kebahagiaan sebuah keluarga yang terbina tetapi apabila membicarakan soal ajal akan terbayang di minda seksaan-seksaan kubur yang bakal diterima bersendirian di sana nanti. Memang benar kematian adalah suatu yang menakutkan. Sebut sahaja tentang mati, akan terkenang kembali segala dosa, hutang dan amanah yang belum terlangsai. Akan terasa betapa kerdil dan hinanya diri ini.
Apabila ditanya kubur yang macam mana yang kamu inginkan, sudah pasti kita mengatakan suatu kubur yang luas, bukan yang sempit dan bukan yang akan menghancurkan tulang temulang kita.
Apabila dikatakan kubur adalah lorong ke syurga sudah pasti semua manusia tidak berasa takut untuk memasuki alam barzakh tetapi apa yang menakutkan manusia tentang kematian adalah bimbang sekiranya kubur itu akan menjadi lorong ke neraka jahanam.
Allah s.w.t. pernah berfirman :
(Surah Al-A'raf, 7:179)
Masa yang masih berbaki ini gunalah sebaik-baiknya. Persiapkanlah diri kita menuju ke destinasi yang pasti iaitu mati. Sungguh sedikit amal yang kita lakukan tetapi terlalu banyak dosa yang telah dilakukan. Dosa kita sesama manusia pun banyak lagi yang tidak kita sedari. Walau segagah manapun kita, walau setinggi mana pun jawatan yang dipegang, ia bukanlah penghalang kepada malaikat Izrail untuk mendatangi dan mecabut nyawa yang dipinjamkan ini.
Firman Allah s.w.t. :
(Surah An-Nisa', 4:78)
Ajal itu datang tanpa mengira waktu. Mungkin saat ini tangan ini masih mampu menaip, tetapi adalah tidak mustahil selepas menamatkan penulisan ini nyawa ini akan dikembalikan kepada peminjamnya dan tangan ini menjadi terus kaku. Mungkin juga ini adalah amal terakhir yang diri ini mampu lakukan.
Allah s.w.t. telah menyatakan di dalam Al-Quran :
(Surah Al-A'raf, 7:34)
Terjumpa satu hadith yang berbunyi, Siti Aisyah r.a. berkata, :
Cukupkah diri ini mengingati mati sebanyak 20 kali sehari...? Sama-samalah bermuhasabah diri dengan memperbanyakkan mengingati mati dan sediakan persiapan-persiapan ke arah kematian itu. Tidak salah membicarakan soal jodoh tetapi banyakkanlah membicarakan soal mati kerana kematian kaunselor yang terbaik.